Pages

Sunday 10 March 2024

MUKASURAT 2

Rambang sahaja penulisan untuk harini.

Aku sekarang di fasa memerhati dan berfikir. Mak dan ayah kawan-kawan ramai yang dah dijemput Ilahi. Alhamdulillah Allah masih bagi aku peluang untuk bersama dengan mak dan ayah. Cumanya ayah dah tak macam dulu. Ayah di fasa awal penyakit alzheimer, kadang-kadang ingat kadang-kadang lupa. Ayah banyak menung dan tak bayak cakap macam dulu. 

Mak pula alhamdulillah masih kuat cumanya sakit lutut dan urat yang kadang kala mengganggu urusan seharian. Lama aku perhati mak dan ayah setiap kali aku balik ke kampung. Rambut yang dulunya lebat dan hitam pekat cuma terselit beberapa helai uban kini sudah berubah menjadi putih semuanya. Kulit yang dulunya tegang kini kendur dan mudah sekali lebam-lebam. Mak yang dulunya berisi kini sudah susut badannya begitu juga dengan ayah.

Apa yang aku fikir? Aku masih belum dapat balas jasa mak dan ayah. Masih belum puas hidup bersama mereka. Walaupun sekarang aku sudah ada anak, tapi aku tetap akan cari mak dan ayah. Merekalah rumahku.. tempat aku pulang dan bersandar. Apabila menerima berita kematian mak atau ayah dari rakan-rakan, aku jadi takut. Aku takut untuk melalui saat kehilangan orang yang paling bermakna dalam hidupku. Aku takut.

Seandainya waktu itu telah tiba, aku berharap aku kuat untuk menghadapinya. Begitu juga kalian.

NSY


Tuesday 5 March 2024

MUKASURAT 1

 Bismillahirrahmanirrahim...

Setelah sekian lama menyepi dari duni penulisan, maka harini aku tergerak hati untuk kembali menulis. Penulisan ini hanya sekadar luahan mengenai pengalaman dan perjalanan seorang manusia yang masih diberi kesempatan oleh Tuhan untuk bernafas di muka bumi ini.Penulisan aku mungkin mengikut musim dan keadaan. Makna kata aku tak akan sentiasa mengemaskini laman blog ini dek kerana komitmen dan juga tanggungjawab yang perlu digalas. 

Baik, mari kita mulakan mukasurat pertama ini dengan sedikit pengenalan diri. NSY singkatan untuk nama penulis blog ini, 2 hari lagi bakal melangkah masuk ke usia 30-an. Seorang ibu kepada seorang putera yang makna namanya adalah Pedang. Seorang isteri yang PJJ dengan suaminya. Pencinta seni.

Aku dah berazam untuk tidak menggunakan bahasa rojak dalam penulisan blog-blog ku nanti. Kerana suatu masa dahulu aku adalah seorang pencinta bahasa kebangsaanku. Seandainya ada tersalah tatabahasa di dalam penulisan ini, maaf ya kerana masih belajar.

Sekian dahulu penulisan untuk permulaan ini. Semoga yang baik-baik saja kedepannya.


Sekian,

NSY